JENIS-JENIS WAQAF

B erkata Imam Al-Jazari:
فاللفـظ أن تم ولا تعـلقا       تَام وكاف إن بمعنى عـلقا
قف وابتدى وإن بلفظ فحسن       فقف ولا تبدا سوى الأي يسن
وغير مـا تم قبـيح ولـه       يوقف مضطرا ويبـدا قبله
"Maka lafaz yang sudah sempurna dan tiada kaitan adalah waqaf Tam dan waqaf Kaf jika mempunyai kaitan makna. Waqaflah dan mulakanlah dan jika mempunyai kaitan dengan lafaz (maka ia adalah) waqaf Hasan, waqaflah dan jangan memulakan bacaan melainkan dimulakan dengan kalimah sebelumnya. Dan selain apa yang sempurna adalah waqaf Qobih dan baginya, boleh waqaf secara terdesak dan dimulakan dengan kalimah sebelumnya." 

1. Waqaf Tam (sempurna)
Berhenti pada kalimah yang telah sempurna maknanya, dan tidak ada kaitan dengan kalimah selepasnya dari sudut lafaz dan makna.

Waqaf pada kalimah sebegini dianggap berhenti yang sempurna dan memulakan bacaan dari kalimah berikutnya juga dianggap sempurna.

Waqaf tam boleh ditemui:
a. di akhir ayat yang mempunyai tanda nombor – juga disebut Waqaf Sunnah kerana cara bacaan Nabi s.a.w. yang berhenti di setiap ayat.
b. di akhir perbicaraan atau cerita di dalam ayat.
c. pada waqaf lazim yang bertanda mim kecil ( ) – juga dipanggil waqaf bayan kerana maksud ayat akan lebih terserlah jika berhenti padanya.
d. pada waqaf Jibril – waqaf yang yang Jibril a.s. berhenti padanya dan Nabi s.a.w. juga turut sama berhenti padanya. Para Qurra’ berselisih pendapat tentang jumlah dan tempat bagi waqaf Jibril ini.

2. Waqaf Kafi (memadai)
Berhenti pada kalimah yang telah sempurna maknanya tetapi masih ada kaitan dengan kalimah selepasnya dari sudut makna; bukan dari sudut lafaz.

Waqaf pada kalimah sebegini diharuskan dan memulakan bacaan dari perkataan berikutnya juga diharuskan.

Waqaf Kafi boleh ditemui di akhir atau pertengahan ayat.

3. Waqaf Hasan (baik)
Berhenti pada kalimah yang telah sempurna makna pada dirinya tetapi makna dan lafaznya masih terikat dengan kalimah selepasnya.

Waqaf pada kalimah sebegini diharuskan dan diharuskan memulakan bacaaan dari kalimah berikutnya sekiranya waqaf Hasan itu di akhir ayat kerana mengikut sunnah Nabi s.a.w.

Sekiranya waqaf Hasan itu di pertengahan ayat, hendaklah dimulakan bacaan dari beberapa kalimah sebelumnya untuk melengkapkan susunan ayat.
Begitu juga tidak harus untuk memutuskan bacaan pada waqaf Hasan ini sekiranya menyebabkan maksud sebenar ayat tidak terserlah.

4. Waqaf Qabih (buruk)
Berhenti pada kalimah yang masih tidak sempurna maknanya dan ada kaitan dengan kalimah selepasnya dari segi lafaz dan makna.

Tidak harus berhenti pada kalimah-kalimah seperti ini melainkan terdesak dan hendaklah dimulakan bacaan dari satu atau dua kalimah sebelumnya.

Waqaf Qabih berlaku sekiranya:
a. Berhenti pada kalimah yang belum lengkap dari segi tatabahasa Arab.
b. Berhenti pada kalimah yang merosakkan maksud ayat.
c. Berhenti pada kalimah yang membawa makna yang biadap terhadap Allah.

5. Waqaf Haram
Waqaf yang sengaja dalam keadaan sedar pada kalimah-kalimah yang boleh menggugurkan syahadah.
Waqaf pada perkataan-perkataan seperti ini hendaklah dihindari walaupun bagi orang yang tidak mengetahuinya.