WAQAF

A pabila Saidina Ali r.a. ditanya tentang maksud membaca alQuran dengan tartil, beliau menjawab:
“Mengelokkan sebutan setiap huruf dan mengetahui tempat waqaf.”

Berhenti dan memulakan bacaan pada tempat yang betul akan memberi makna yang tepat pada satu-satu ayat. Berhenti dan memulakan bacaan pada tempat yang salah akan merosakkan makna pada satu-satu ayat.

WAQAF bererti memutuskan suara dan mengambil nafas baru untuk memulakan bacaan yang berikutnya.

Harus waqaf pada akhir ayat iaitu pada huruf yang terakhir pada kalimah terakhir dalam ayat tersebut. Harus juga waqaf pada mana-mana kalimah di pertengahan ayat - selagi mana tiada perkara yang menegah untuk berhenti; tetapi tidak harus waqaf pada pertengahan kalimah.

Berkata Imam Al Jazari:

وَلَيْسَ فِي الْقُرْآنِ مِنْ وَقْفٍ يَجِبْ ... وَلاَ حَرَامٌ غَيْرُ مَا لَهُ سَبَب
"Dan tiada di dalam alQuran itu waqaf yang wajib, tiada juga yang haram kecuali jika ada sebab." 

SEBAB-SEBAB WAQAF
1. Sebab Idhtirari
Waqaf kerana terpaksa (terputus nafas, bersin dan sebagainya).

2. Sebab Ikhtiari
Waqaf kerana hendak menguji pengetahuan murid oleh guru yang mengajar.

3. Sebab Intizori
Waqaf untuk menunggu beberapa wajah bacaan Qiraat yang terdapat pada satu-satu ayat itu.

4. Sebab Ikhtiari
Waqaf kerana pembaca memilih untuk berhenti.

Semua sebab-sebab waqaf di atas adalah diharuskan. Sebaik-baiknya bacaan hendaklah dimulakan semula dengan memelihara makna dan maksud ayat; sekurang-kurangnya dengan mengulangi satu atau dua kalimah sebelum kalimah yang dia telah berhenti padanya.