PENGENALAN ILMU TAJWID

Maknanya:
Dari segi bahasa bermaksud memperelokkan.

Kata Ibnu al Jazari dalam Muqaddimah al Jazariyyah:
وهو إعطاء الحروف حقها * من صفة لها ومسـتحقها
“Ilmu yang menunaikan hak pada setiap huruf dan memenuhi sifat huruf-huruf tersebut.”
Makna حقه: Sifat yang lazim bagi sesuatu huruf seperti sifat jahr, syiddah dan sebagainya.
Makna ومستحقه: Sifat mendatang yang muncul dari sifat huruf itu sendiri seperti sifat tebal, tipis, izhar, idgham, iqlab dan sebagainya.

Imam al-Suyūṭī berkata:
Menyebut huruf-huruf menurut sifat asalnya satu persatu dan melafazkan setiap huruf itu dengan lafaz yang betul dan menuturkannya secara sempurna; bukan dengan paksaan, tergesa-gesa atau berlebih-lebihan.

Hukumnya:
Di dalam kitab Hidāyatul Mustafīd (هداية المستفيد في أحكام التجويد):
التجويد لا خلاف في أنه فرض كفاية والعمل به فرض عين على كل مسلم ومسلمة من المكلفين
“Tiada khilaf mempelajarinya adalah fardhu kifayah. Beramal dengannya adalah fardhu ain atas setiap orang Islam yang mukallaf samada lelaki atau perempuan.”

Saidina Ali ditanya tentang makna tartil lalu beliau menjawab:
تجويد الحروف ومعرفة الوقوف
Mengelokkan sebutan setiap huruf dan mengetahui tempat waqaf.”

Tujuannya:
Dapat membaca ayat al-Quran secara betul; sesuai dengan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan dapat memelihara lisan dari kesalahan ketika membaca al-Quran.

Jenis-jenis kesalahan:
Kesalahan nyata (لحن جلي): Kesalahan yang mengubah bacaan; sama ada perubahan itu membawa makna lain atau tidak. Diantaranya adalah:
1. menambah huruf seperti memanjangkan huruf yang tiada mad atau membaca mad asli lebih daripada 2 harakat.
2. membuang huruf seperti membaca mad asli kurang dari 2 harakat atau tidak menekankan huruf yang bersabdu.
3. mengubah huruf seperti membaca huruf ظ tanpa sifat isti’la’ dan itbaq; menyebabkan ia bertukar menjadi huruf  ذ.
4.  mengubah baris huruf seperti melantunkan huruf ن ketika membaca   dan mengubah baris sukun kepada fathah .

Waqaf atau ibtida’ bukan pada tempatnya; sekiranya ianya mengubah maksud ayat, juga termasuk di dalam kesalahan nyata.

Hukumnya haram dan berdosa pada sesiapa yang sengaja melakunya dan kepada sesiapa yang tidak berusaha membetulkannya. Adapun orang yang tidak dapat membetulkannya setelah berusaha, maka dimaafkan dan sah solat bagi dirinya sendiri. Tetapi tidak seharusnya dia menjadi imam solat dan memperdengarkan bacaannya di khalayak ramai.

Kesalahan tersembunyi (لحن خفي): Kesalahan pada sifat-sifat mendatang huruf seperti ikhfa’, idgham, dan lain-lain. Kesalahan-kesalahan ini hanya dapat dikesan oleh mereka yang mahir dalam ilmu tajwid.

Hukumnya makruh dan mengaibkan kerana menghilangkan keindahan bacaan al-Quran.

Tingkatan Bacaan Al-Quran
1. At-Tahqeeq: Bacaan perlahan dan tenang; melafazkan setiap huruf daripada makhrajnya yang tepat; mematuhi hukum-hukum tajwid dengan sempurna; serta merenung makna, hukum dan pengajaran daripada ayat.
2.   Al-Hadar: Bacaan yang cepat serta memelihara hukum-hukum tajwid.
3. At-Tadwir: Bacaan yang pertengahan antara bacaan tahqeeq dan hadar, serta memelihara hukum-hukum tajwid.


Ketiga-tiga tingkatan bacaan ini dianggap sebagai bacaan tartil sekiranya dibaca dengan menjaga dan memelihara hukum-hukum tajwid.