ISTI’AZAH

L
afaz isti’azah bukan dari ayat al-Quran. Hukum membacanya adalah sunat yang sangat dituntut ketika hendak memulakan bacaan dalam setiap keadaan; sama ada di awal atau di pertengahan surah.
فَإِذَا قَرَأۡتَ ٱلۡقُرۡءَانَ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ
Apabila kamu membaca al-Quran, hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk.  (AnNahl: 98)

Lafaz yang masyhur adalah lafaz yang diucapkan oleh malaikat Jibrail:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
Diharuskan membaca mana-mana lafaz yang seumpamanya:
أعوذ بالله العظيم من الشيطان الرجيم
 أعوذ بالله من الشيطان
أعوذ بالله السميع العليم من الشيطان الرجيم

Lafaz isti’azah hendaklah dilantangkan kecuali pada beberapa keadaan:
1.     ketika di dalam solat bagi imam dan makmum
2.     ketika membaca al-Quran secara perlahan
3.     ketika di dalam halaqah tadarus sekiranya bukan pembaca yang pertama.

Sekiranya bacaan terputus dengan tidak sengaja (batuk, menguap atau bersin) atau dengan perkara berkaitan dengan al-Quran (menerangkan hukum tajwid atau memberikan tafsir ayat), maka tidak perlu mengulangi isti’azah.


Sekiranya bacaan terputus dengan perkara yang tidak berkaitan dengan al-Quran (menjawab salam, bercakap dan lain-lain), maka hendaklah mengulangi isti’azah.