BASMALAH

B
asmalah adalah kata ringkas bagi kalimahبِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ .

Rasulullah s.a.w. tidak dapat memastikan ayat terakhir sesuatu surah itu sehingga diturunkan kepadanya basmalah.

Basmalah hendaklah dibaca di awal surah dan ketika menyambung bacaan di antara dua surah; kecuali pada surah at Taubah.

Membaca basmalah di awal surah al Fatihah adalah wajib pada mazhab ash Shafi’e kerana ia dianggap sebagai satu ayat pada surah tersebut.

Ketika memulakan bacaan dipertengahan surah, diharuskan untuk membaca basmalah atau tidak membaca basmalah. Namun tidak harus membaca basmalah sahaja tanpa membaca isti’azah terlebih dahulu.

Sekiranya memulakan bacaan pada ayat yang bermula dengan gantinama kepada Allah, maka hendaklah membaca basmalah.

 ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ   2:22
 وَهُوَ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ بِٱلۡحَقِّۖ 6:73

Sekiranya memulakan bacaan pada ayat yang berkaitan dengan kaum kafir, munafiq, syaithan atau berkaitan dengan ancaman azab atau neraka, maka lebih utama untuk tidak membaca basmalah.

Terdapat 3 wajah bacaan basmalah di antara dua surah selain dari surah at Taubah:
1.     Waqaf pada akhir surah dan waqaf pada basmalah dan kemudian membaca awal surah berikutnya.
2.     Waqaf pada akhir surah dan wasal pada basmalah dengan awal surah berikutnya.
3.     Wasal kesemua akhir surah, basmalah dan awal surah berikutnya.

Tidak harus wasal akhir surah dengan basmalah dan kemudian waqaf pada basmalah kerana yang demikian itu akan menjadikan basmalah sebagai penamat bagi surah tersebut.

Tidak harus juga untuk menyambung antara dua surah tanpa basmalah (selain dari surah at Taubah).

 Terdapat 3 wajah untuk menyambung surah al Anfal dan surah at Taubah:

إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمُۢ ٧٥
بَرَآءَةٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦٓ إِلَى ٱلَّذِينَ عَٰهَدتُّم مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ١

1.     Waqaf pada akhir surah al Anfal dan memulakan awal surah at Taubah tanpa basmalah.
2.  Saktah pada akhir surah al Anfal dan awal surah at Taubah. Saktah tersebut adalah dengan tanwin, bukan dengan mad aridh lissukun.
3.     Wasal pada akhir surah al Anfal dan awal surah at Taubah dengan menunaikan hukum iqlab di akhir surah al Anfal.

Untuk memulakan bacaan dari awal surah at Taubah, diharuskan membaca isti’azah terlebih dahulu.

Terdapat 4 wajah untuk memulakan bacaan dengan isti’azah dan basmalah:
1.     Waqaf kesemuanya.
2.     Waqaf pada isti’azah, kemudian wasal pada basmalah dan ayat.
3.  Wasal pada isti’azah dan basmalah, kemudian memulakan bacaan ayat dengan nafas baru.
4.     Wasal kesemuanya.